Latar belakang Perang Yom Kippur

Perang Yom Kippur merupakan sebahagian konflik Arab-Israel yang merangkumi banyak pertempuran dan peperangan sejak dari tahun 1948. Dalam Perang Enam Hari pada bulan Jun 1967, Israel telah menduduki Dataran Tinggi Golan di utara serta Semenanjung Sinai di selatan sehingga ke Terusan Suez.

Pada tahun-tahun yang menyusul Perang Enam Hari, Israel mendirikan barisan pertahanan di kedua-dua Sinai dan Dataran Tinggi Golan. Kemudian pada tahun 1971, ia membelanjakan AS$500 juta untuk mengukuhkan kedudukannya di Terusan Suez dengan serangkaian kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamainya Garis Bar Lev sempena nama jeneral Israel, Haim Bar Lev. Selepas serangan mengejut yang mengalahkan tentera-tentera Mesir dan Syria pada tahun 1967 dan kemenangannya dalam Perang Pelumpuhan dengan Mesir di selatan yang berlangsung selama tiga tahun bersama-sama beberapa kejadian perbatasan di utara dengan Syria, pimpinan Israel menjadi agak lalai. Bangga dengan rasa keunggulan tentera sendiri, Israel gagal menyedari usaha agresif yang dilakukan oleh musuh-musuhnya, terutamanya Mesir, dalam mempersenjatai dan menyusun semula tentera masing-masing menjadi angkatan-angkatan tentera yang jauh lebih berdisplin yang dapat mencabar angkatan tenteranya (IDF).

Pada tahun 1971, Anwar Sadat mengumumkan bahawa sekiranya Israel melakukan pengunduran satu pihak dari semua kawasan yang ditawannya semasa perang tahun 1967, Mesir akan menimbangkan gencatan senjata atau kedamaian sementara yang menyeluruh. Israel keberatan berundur dari sedemikian banyak jajahannya tanpa sebarang jaminan perjanjian damai daripada Mesir dan tanpa peluang untuk mencapai sebarang perjanjian damai dengan jiran-jiran Arabnya ketika itu.

Sebagai balasan pada tahun 1972, Anwar Sadat dengan lantang menyatakan bahawa Mesir akan berperang dengan Israel, malahan mereka bersedia untuk mengorbankan sejuta orang askarnya. Sejak dari akhir tahun 1972, Mesir memulakan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan angkatan tenteranya dan menerima MiG-23, SAM6, RPG-7, khususnya peluru berpandu anti-kereta kebal 'Sagger', daripada Kesatuan Soviet serta memperbaik taktik-taktik tenteranya.

Pada tahun 1972 dan 1973, Sadat secara terang-terangan mengisytiharkan sekali lagi bahawa Mesir akan berperang dengan Israel kecuali ia berundur sepenuhnya dari kesemua jajahan yang ditaklukkannya pada tahun 1967. Sadat mengambil langkah diplomatik pada tahun 1973 untuk meyakinkan negara-negara Afrika, Eropah dan Kesatuan Soviet supaya menyokongnya dalam peperangan dengan Israel. Oleh sebab Kesatuan Soviet sedang cuba memperbaiki hubungannya dengan Amerika Syarikat melalui pengenduran ketegangan, ia enggan menyetujui permintaan Mesir untuk memperoleh lebih banyak senjata dan sokongan umum terhadap perangnya dengan Israel. Sebagai balasan, Sadat menyingkirkan sekitar 20,000 orang penasihat Soviet dari Mesir.

Kuasa-kuasa terbesar juga memainkan peranan yang utama dalam keputusan kedua-dua perang, dengan dasar Kesatuan Soviet merupakan salah satu punca kelemahan tentera Mesir. Sedangkan Amerika Syarikat tidak terbatas membekalkan Israel dengan senjata-senjata serangan yang paling terkini, Rusia hanya membekalkan Mesir dengan persenjataan pertahanan dan walaupun demikian, juga hanya dengan banyak keberatan. Sebenarnya, Gamel Abdel Nasser hanya dapat memperoleh bahan untuk barisan pertahanan peluru anti-pesawatnya selepas beliau melawat Moscow dan mengugut pimpinan Kremlin bahawa beliau akan pulang ke Mesir untuk memberitahu orang Mesir bahawa Moscow telah meninggalkan mereka dan kemudian akan meletakkan jawatannya supaya penggantinya akan dapat berbaik-baik dengan Amerika Syarikat yang akan mendapat kuasa di wilayah itu.

Salah satu matlamat Perang Pelumpuhan yang tidak diisytiharkan adalah untuk memaksa Kesatuan Soviet supaya membekalkan Mesir dengan senjata dan bahan perang yang lebih maju. Mesir berasa bahawa cara yang tunggal untuk meyakinkan para pemimpin Soviet tentang kekurangan kebanyakan pesawat dan persenjataan pertahanan udara yang dibekalkan selepas tahun 1967 adalah untuk mengujinya terhadap persenjataan maju yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Israel.

Dasar Nasser selepas kekalahan tahun 1967 bertentangan dengan dasar Kesatuan Soviet. Sedangkan Nasser bertindak mengikut kepercayaanya bahawa apa yang dirampas melalui kuasa harus dituntut balik dengan kuasa, pihak Soviet cuba mendorong Mesir ke arah penyelesaian aman terhadap pertikaian Arab-Israel. Dengan apa cara sekalipun, Kesatuan Soviet hendak mengelakkan sebarang pertempuran yang baru antara pihak Arab dengan Israel agar tidak berkonfrontasi dengan Amerika Syarikat.

Rujukan

WikiPedia: Perang Yom Kippur http://www.defencejournal.com/2002/nov/4th-round.h... http://www.gwu.edu/~nsarchiv/NSAEBB/NSAEBB98/index... http://www.jajz-ed.org.il/100/maps/egypt.html http://www.jajz-ed.org.il/100/maps/syria.html http://cgsc.leavenworth.army.mil/carl/download/csi... http://cgsc.leavenworth.army.mil/carl/download/csi... http://cgsc.leavenworth.army.mil/carl/download/csi... http://cgsc.leavenworth.army.mil/carl/download/csi... http://cgsc.leavenworth.army.mil/carl/download/csi... http://cgsc.leavenworth.army.mil/carl/download/csi...